MARIAH AL-QIBTIYAH (R.A.)

Dalam usaha Rasulullah menyebarkan agama Islam, beliau telah menghantar seorang utusan menyampaikan sepucuk surat kepada Muqauqis. Muqauqis adalah seorang raja yang memerintah Iskandariah dan Mesir.

Tujuan Rasulullah berbuat demikian adalah untuk mengajaknya serta rakyatnya memeluk agama Islam. Peristiwa ini terjadi pada tahun yang keenam hijrah. Surat serta utusan itu diterima oleh Muqauqis dengan layanan yang sangat baik. Walaupun dia tidak mahu memeluk agama Islam, tetapi ini bukanlah bererti dia akan memusuhi Islam. Sebaliknya, dia telah mengirimkan hadiah-hadiah untuk Rasulullah melalui utusan tersebut. Di antara hadiah-hadiah yang dibawa kembali ke Madinah untuk dipersembahkan kepada Rasulullah ialah berupa seekor baghal, sekumpulan para doktor dan dua orang gadis bangsa Qibti (Mesir). Mereka adalah kakak beradik. Yang kakak bernama Mariah sedangkan si adik bernama Sirim.

Oleh Rasulullah, Sirim diberikan kepada Hassan bin Tsabit untuk dikahwini dan dari hasil perkahwinan ini, mereka dikumiakan seorang anak lelaki bernama Abdur Rahman. Sementara itu, Mariah telah dijadikan isteri oleh Rasulullah (s.a.w.).

Dari wanita inilah kemudiannya Rasulullah mendapatkan seorang anak lelaki yang diberi nama Ibrahim, Tetapi sayang, Ibrahim telah wafat dalam usia kurang dari dua tahun.

Adapun Rasulullah mengahwini wanita ini dengan tujuan untuk;

  1. Menghargai serta menghormati raja Muqauqis yang sangat berlemah-lembut dalam menanggapi dakwah Islam walaupun dia enggan memeluknya.
  2. Mengangkat darjat Mariah yang sewaktu diserahkan kepada Rasulullah berkedudukan sebagai jariah atau sama dengan hamba.
  3. Menghidupkan kembali hubungan lama antara Mesir dengan Jazirah Arab.
  4. Menyebarkan Islam serta memperbanyak penyokongnya.