GAGASAN PENYATUAN AGAMA ADALAH HARAM

Pertama - ANTARA prinsip Islam yang lain yang wajar diketahui oleh setiap individu Muslim ialah wajib meyakini bahawa orang yang tidak memeluk agama Islam adalah kafir, baik mereka itu Yahudi, Nasrani dan sebagainya. Harus diakui bahawa mereka itu adalah musuh Allah serta pastinya di akhirat nanti akan dimasukkan dalam neraka.

Kedua - Dalam al-Quran melalui surah al-Bayyinah ayat 1, Allah berfirman yang bermaksud: “Orang kafir yakni ahli Kitab dan orang Musyrik mengatakan bahawa mereka tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata.”

Ketiga - Ayat 6 surah yang sama pula menegaskan firman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang kafir yakni ahli Kitab dan orang Musyrik (akan masuk) ke neraka Jahanam, mereka kekal dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk.”

Keempat - Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, disebutkan bahawa Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: “Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, tidak seorang pun mendengar mengenaiku daripada umatku ini, baik seorang Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia mati dan belum beriman dengan apa yang aku diutus dengannya, melainkan ia termasuk penghuni neraka.”

Kelima - Lantaran itu, sesiapa saja yang tidak mengkafirkan orang Yahudi dan Nasrani, maka orang itu adalah kafir sebagaimana dalam kaedah syariat disebutkan: “Siapa yang tidak mengkafirkan orang kafir, maka dia adalah orang kafir.”

Keenam - Berdasarkan pelbagai prinsip akidah seperti yang dijelaskan di atas dan hakikat syariat sebagaimana disebutkan terdahulu, maka seruan kepada penyatuan agama, pendekatan antara agama atau menjadikannya sebagai satu agama himpunan adalah suatu kekejian dan kemungkaran, yang tujuannya adalah jelas untuk mencampuradukkan antara yang hak dengan yang batil, menghancurkan Islam, membinasakan tonggak penyangganya serta mengheret penganut kepada kemurtadan secara total.

Hal ini selaras dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud: “Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka dapat mengembalikan kamu daripada agamamu (kepada kekafiran) seandainya mereka sanggup.”

Dan juga firman-Nya dalam surah an-Nisa’ ayat 89, yang bermaksud: “Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka sudah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka).”

Ketujuh - Antara bentuk seruan penyatuan agama itu adalah dengan hasrat meniadakan perbezaan antara agama Islam dan kekufuran, kebenaran dan kebatilan, kebaikan dan kemungkaran serta menghancurkan pembatas antara umat Islam dan orang kafir.

Tidak ada lagi wala’, iaitu kesetiaan kepada Islam dan bara’ iaitu terlepas diri daripada kekufuran. Ini juga bermakna tidak ada lagi erti jihad untuk meninggikan kalimat Allah di muka bumi ini.

Kelapan - Sesungguhnya, jika seruan kepada penyatuan agama itu datang daripada seorang Muslim, maka itu bermakna individu itu sudah murtad daripada agama Islam. Ini adalah kerana perbuatan begini amat bertentangan dengan prinsip akidah sehingga dia rela dengan kekufuran, menafikan kebenaran al-Quran bahawa ia adalah penghapus kitab yang diturunkan sebelumnya dan juga menghapuskan seluruh syariat dan agama yang ada sebelumnya.

Berdasarkan hakikat itu, setelah ditinjau daripada al-Quran dan ijma, maka idea dan gagasan penyatuan agama hukumnya adalah haram.

Kesembilan - Berdasarkan apa yang dipaparkan tadi, maka setiap individu Islam perlu mengetahui hal berikut:

Seorang Muslim yang mengimani bahawa Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul-Nya, tidak boleh menyeru kepada idea dan gagasan penyatuan agama itu, apa lagi menerima dan menerapkannya dalam kehidupan di tengah-tengah kelompok umat Islam yang lain.

Seorang Muslim tidak dibolehkan mencetak Taurat dan Injil, apa lagi jika mencetaknya dengan disatukan bersama al-Quran dalam satu sampul. Siapa yang melakukan atau menyeru kepadanya, maka dia tersesat. Itu juga bermakna mencampuradukkan antara yang benar dengan yang batil, yang berlaku oleh Allah dengan yang sudah dihapuskan-Nya.

Seorang Muslim haruslah meyakini bahawa hanya agama Islam satu-satunya agama yang benar dan diredai Allah. Tiada agama lain selain Islam di muka bumi ini yang benar dan jelas segala petunjuknya.

Mengakui dan menyeru bahawa agama bagi penduduk di bumi ada dua atau tiga, dan menyamakan semua agama itu sebagai satu atau sama dengan agama Islam, tidak diragukan lagi adalah suatu kekufuran dan kesesatan yang nyata. Sebab hal itu jelas bertentangan dengan al-Quran, as-Sunnah dan Ijma ulama Islam.

Sebagaimana tidak dibenarkan pula menamai tempat ibadat selain masjid dengan ‘Baitullah’ (Rumah Allah) dan bahawa orang yang beribadat di dalamnya beribadat secara benar dan diterima di sisi Allah.

Sebab mereka beribadat tidak atas dasar agama Islam pada hal Allah berfirman melalui surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud: “Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang yang rugi.”

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullah dalam Majmu’ Fatawa, edisi 22/162 mengatakan: “Biara dan gereja itu bukanlah rumah Allah. Rumah Allah hanyalah masjid. Sebaliknya, ia adalah rumah di mana Allah diingkari dan dikufuri meskipun terkadang di dalamnya disebut nama Allah. Rumah itu adalah bergantung kepada penghuninya sedangkan penghuni rumah itu adalah orang kafir, lantaran itu ia adalah rumah ibadat orang kafir.”

Wajib diketahui bahawa mendakwahkan Islam kepada segenap umat manusia hukumnya adalah wajib bagi setiap umat Islam berdasarkan dalil yang tegas daripada al-Quran dan as-Sunnah.

Namun, hal itu tidak boleh dikecualikan dengan jalan penjelasan dan dialog yang baik (jidal hasan), dengan tidak merendahkan sedikit pun syariat Islam sehingga mereka puas dan sudah tertegak hujah benar di hadapan mereka.

Hakikat ini jelas seperti yang difirmankan Allah dalam surah Ali Imran ayat 64 yang bermaksud: “Agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata (pula). Katakanlah, hai ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka, saksikanlah bahawa kami adalah orang yang berserah diri (kepada Allah).”

Adapun menyelenggarakan dialog dengan mereka agar kita tunduk dengan keinginan mereka, untuk merealisasikan tujuan mereka dan mencabut iman dan akidah Islam, maka hal itu adalah batil, tidak dibenarkan Allah dan Rasul-Nya dan orang beriman.

Ketegasan ini jelas ditandai oleh firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 49 yang bermaksud: “Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian dari apa yang sudah diturunkan Allah kepadamu.”

Jika hal di atas sudah jelas bagi umat manusia, maka inilah pesanan kepada setiap individu umat Islam pada umumnya dan khususnya ahli ilmu agar bertakwa kepada Allah dan sentiasa menjaga-Nya, meneguhkan Islam dan menjaga akidah umat Islam daripada kesesatan dan penyerunya daripada kekufuran dan pemeluknya agar selalu berwaspada terhadap segala seruan penyatuan agama, seterusnya berhati-hatilah supaya jangan terjerumus ke dalamnya.

Marilah bersama-sama kita berlindung dengan Allah daripada setiap orang Islam yang menjadi sebab bagi kesesatan itu ke segenap negeri Islam.

Marilah kita memohon kepada Allah dengan nama-Nya yang maha indah dan sifat-Nya yang maha agung agar menghindarkan kita daripada fitnah yang menyesatkan.

Semoga Allah menjadikan kita sebagai orang yang mendapat petunjuk, pembenteng Islam dengan petunjuk dan cahaya daripada Tuhan kita, sampai kita menemui-Nya dalam keadaan Dia reda kepada kita.

Semoga selawat serta salam tetap tercurah kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad saw, seluruh ahli keluarga baginda, sahabat dan pengikut baginda yang setia.