SAUDAH BINTI ZAM'AH BIN QAIS (R.A.)

Ketika dia memeluk agama Islam, seluruh saudara-maranya telah memusuhinya. Tetapi Saudah dan suaminya al-Sukran adalah pengikut Rasulullah yang taat. Bahkan mereka berdua termasuk golongan Muslim kedua yang berhijrah ke Habsyah untuk menghindari dari kezaliman kafir Quraisy. Kemudian setelah dia bersama suaminya kembali semula ke Makkah, al-Sukran meninggal dunia. Maka tinggallah Saudah sebagai janda sebatangkara tanpa saudara-mara.

Walaupun demikian, dia telah bertekad untuk tidak pulang ke pangkuan keluarganya yang sudah pasti akan mendesaknya untuk kembali kepada agama nenek moyang mereka. Andaikan dia enggan menurut kehendak mereka, tentu dia akan diseksa secara zalim.

Rasulullah sangat bersimpati dengan masalah yang dihadapi oleh Saudah. Kerana itu dia telah memutuskan untuk menikahinya, walaupun pada ketika itu Saudah sudah lanjut usianya, gemuk dan miskin pula.

Dengan perkahwinan ini bererti;

  1. Rasulullah telah berusaha memberikan perlindungan kepada Saudah dari ancaman serta kebengisan kaum kafir.
  2. Sebagai penghargaan atas kesegeraannya memeluk agama Islam.
  3. Dengan perkahwinan ini dua kabilah Quraisy telah dapat disatukan dan secara tidak langsung telah dapat pula menjinakkan hati kaum kerabat Saudah kepada Islam.

Rasulullah beristerikan Saudah sehingga beliau meninggal dunia. Jadi jelaslah, perkahwinannya dengan Saudah adalah bertujuan untuk menghormati serta memelihara kepentingan Islam, bukan kerana untuk kepentingan nafsu seks atau mencari keseronokan.