Make your own free website on Tripod.com

ZAINAB BINTI JAHSYI (R.A.)

Zainab adalah anak kepada Makcik Rasulullah. Jadi, dia adalah sepupu beliau. Pada mulanya Zainab telah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Zaid bin Haritsah al-Kalbi, iaitu semasa zaman Jahiliyah dia telah dijadikan hamba. Kemudian telah dibeli oleh Sayidatina Khadijah binti Khuwailid untuk dihadiahkan kepada Rasulullah. Oleh Rasulullah, Zaid dijadikan anak angkatnya. Peristiwa ini berlaku sebelum Muhammad diangkat menjadi Nabi, sedangkan Zaid berusia lapan tahun.

Berita ini telah diketahui oleh bapa Zaid dan dia segera datang menemui Rasulullah untuk menebus anaknya itu. Kerana itu Rasulullah telah memberi kebebasan kepada Zaid untuk memilih, siapakah yang akan diikutinya. Tapi Zaid telah memilih Rasulullah. Sejak itu, rasmilah Zaid menjadi anak angkat beliau dan menurut adat waktu itu kedua belah pihak (bapa dan anak angkat) boleh saling waris-mewarisi.

Tetapi tidak berapa lama kemudian turunlah ayat 5 Surah al-Ahzab;

“Panggillah  anak-anak  angkat itu  dengan ber'bin'kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah, Dalam pada itu jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai 'maula-maula kamu...”

Sejak hari itu Zaid tidak lagi dipanggil dengan nama Zaid bin Muhammad tetapi dengan panggilan Zaid bin Haritsah.

Kemudian setelah Zaid dewasa, Rasulullah mengusulkan agar Zainab dikahwinkan dengan anak angkatnya itu. Pada mulanya usul Rasulullah ini tidak disetujui oleh Zainab serta kaum kerabatnya kerana mereka tidak mahu merendahkan kebanggaan keturunan mereka yang mulia itu. Tetapi akhirya mereka mengalah juga dengan Rasulullah yang memang menghendaki agar perbezaan darjat serta kedudukan tidak dibeza-bezakan, sesuai dengan ajaran Islam.

Rasulullah sendiri telah membayarkan mahar untuk Zaid sebanyak enam puluh dirham, sehelai kain tudung, sehelai kain litup pakaian, sehelai baju dan sehelai kain, lima puluh cupak makanan serta tiga puluh gantang tamar.

Akhirnya berkahwinlah Zaid dengan Zainab, sepupu Rasulullah itu. Tetapi Zainab sentiasa memarahi suaminya kerana merasa dirinya lebih tinggi. Dia juga selalu menghina dan menyakitkan hati Zaid dengan kata-kata yang tidak menyenangkan. Sehingga, pernah juga dia menegah suaminya dari menyentuhnya. Akibatnya rumahtangga ini tidak menemukan kebahagiaan. Perselisihan selalu timbul.

Kerana merasa tidak tahan lagi, Zaid pun pergi bertemu Rasulullah untuk memberitahu keadaannya yang sebenarnya. Dia mengadu, "Ya Rasulullah, Zainab lidahnya keterlaluan terhadap saya. Oleh itu saya hendak menceraikannya."

Mendengar ini Rasulullah menjawab; "Ya Zaid, peganglah isteri engkau itu bertakwalah kepada Allah dalam masalah ini, jangan engkau menceraikannya."

Walaupun Zaid berusaha memelihara rumahtangganya, tetapi segala macam usaha perdamaiannya selalu menemui jalan buntu. Dia melihat tidak ada jalan lain yang terbentang di hadapannya, kecuali menceraikan Zainab.

Keinginan Zaid untuk menceraikan isterinya ini telah diketahui oleh Rasulullah melalui wahyu Allah. Bahkan Allah memerintahkan beliau untuk menikahi Zainab apabila dia habis dari masa iddahnya.

Firman Allah dalam Surah al-Ahzab ay at 37;

“... kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuan-nya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.”

Tujuan Allah (SWT) memerintahkan Rasulullah mengahwini Zainab antara lain ialah;

  1. Untuk menghapuskan kepercayaan generasi-generasi pada waktu itu dan berikutnya yang mengatakan isteri anak angkat haram berkahwin dengan bapa angkat sebagaimana haram terhadap isteri anak sendiri.
  2. Untuk menyelamatkan serta memberi hormat kepada Zainab dan keluarganya, jangan direndahkan kerana telah menjadi janda sahaya.

Pada mulanya Rasulullah merasa berat untuk mengahwini Zainab kerana perkara serupa ini belum pernah terjadi di kalangan bangsa Arab, tetapi sekali lagi Allah menegaskan dengan firman-Nya dalam Surah Al-Ahzab ay at 38-39;

“Tidak ada suatu keberatan pula atas nabi tentang apa yang telah ditetapkan Allah baginya. (Allah telah menetapkan yang demikian) sebagai sunnah-Nya pada nabi-nabi yang telah berlalu dahulu. Dan adalah ketetapan yang pasti berlaku. (laitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah,mereka takut kepada-Nya dan mereka tidak merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah dan cukuplah Allah sebagai pembuat perhitungan.”