POLIGAMI DARI MASA KE SEMASA (SEJARAH RINGKAS POLIGAMI)

Poligami selalu menimbulkan masalah di kalangan orang ramai, terutama umat Islam. Walau bagaimanapun al-Qur'an dan al-Hadis telah menerangkan, bagaimana poligami sepatutnya dilaksanakan oleh umat Islam agar mereka tidak mudah terpedaya dengan fitnah-fitnah dan pendapat-pendapat yang sengaja ingin menjatuhkan Islam. Al-Quran dan al-Hadis juga memberikan garis panduan agar umat Islam tidak berpoligami menurut sesuka hati dan nafsu mereka.

Perkahwinan Nabi Muhammad (s.a.w.) dijadikan sebagai satu bahan untuk melemahkan Islam oleh para orientalis Barat. Padahal sebelum itu para nabi yang lain juga telah beristeri lebih dari seorang, seperti Nabi Ibrahim (a.s.), Daud (a.s.), Ismail (a.s.), Nuh (a.s.), Ishaq (a.s.) dan Sulaiman (a.s.).

Agar Islam tidak tersebar dengan luas, mereka berusaha mencari-cari kelemahan Nabi Muhammad. Oleh itu, mereka menuduh bahawa Nabi Muhammad telah berpoligami kerana baginda bernafsu ganas dan mengejar kelazatan seks. Kejahatan mereka ini telah dijelaskan oleh Allah (SWT) dengan firman-Nya;

"Besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta." (Al-Qur'an, Surah al-Kahfi ayat 5)

Walaupun agama Kristian menolak sistem berpoligami, bahkan menuduh bahawa poligami adalah satu sistem yang dicintai oleh Rasulullah, tetapi sejarah telah membuktikan bahawa sesungguhnya poligami itu sudah ada sejak dahulu kala lagi, beratus-ratus tahun dahulu, sebelum kelahiran atau datangnya Muhammad (s.a.w.).

Adapun umat-umat di zaman silam, semuanya mengamalkan poligami dalam kehidupan mereka. Kitab Taurat sendiri telah mengharuskan poligami dan tidak membatasi bilangannya. Sedangkan kitab Talmud pula telah menghadkan bilangan isteri-isteri yang boleh dikahwini sekaligus, sesuai dengan kemampuan mereka untuk membiayai serta memelihara isteri-isteri mereka kelak. Tetapi perkara ini tidak dilakukan dengan taat oleh orang ramai. Bahkan mereka telah mengambil wanita-wanita sebagai simpanan, walaupun mereka tidak mampu untuk berbuat demikian ditinjau dari segi ekonomi.

Selanjutnya, orang-orang Yahudi yang tinggal di Eropah ada mengamalkan poligami sejak kurun pertengahan hingga ke hari ini. Orang-orang purba pula membenarkan seorang lelaki pada masa itu berkahwin dengan sebanyak wanita yang disukainya.

Bangsa Mesir purba mengamalkan poligami sebagaimana yang berlaku di zaman Deodor Sesle, sementara pengiring-pengiring mereka pula berpoligami dengan hamba-hamba perempuan.

Ajaran Zaradisyt, yang menjadi peraturan hidup orang-orang Parsi, telah menggalakkan berpoligami dan mengambil gundik serta perempuan-perempuan simpanan dengan alasan rakyat yang berperang sentiasa memerlukan wanita-wanita muda. Sebab itulah orang Parsi tidak mempunyai undang-undang yang membataskan bilangan isteri. Mereka juga menganggap bahawa sesiapa yang berkahwin banyak, akan mendapat pahala yang banyak pula di akhirat kelak. Oleh itu, di kalangan mereka tidak ada satu peraturan perkahwinan yang dihormati oleh orang ramai. Mereka berkahwin dan juga menyimpan perempuan-perempuan sesuka hati sehingga menimbulkan satu kehidupan masyarakat yang sangat buruk akhlaknya.

Orang-orang Rom pula seperti Emperor Seila mengumpulkan lima orang perempuan sekaligus dalam hidupnya sehari-hari. Sedangkan Pompey dan Caeser masing-masing mempunyai empat orang isteri. Orang-orang Kristian ada melakukan poligami seperti Emperor Constantin dan anak-anaknya. Bahkan Emperor Valentinianus II telah mengeluarkan satu undang-undang poligami. Dia memperkenankan rakyatnya mengahwini beberapa orang wanita, jika mereka mahu. Sementara itu, para paderi dan ketua gereja Kristian pada waktu itu sedikit pun tidak membangkangnya. Hal ini terjadi pada pertengahan kurun keempat Masihi.

Raja-raja setelah Valentinianus terus mengekalkan undang-undang poligami itu sehingga ke zaman Justinianus yang cuba menghapuskan poligami tetapi tidak berhasil. Usaha ini gagal kerana Justinianus tidak dapat menahan atau mengekang rakyatnya yang cenderung untuk berpoligami. Akibatnya, timbullah pergaulan bebas tanpa batas dan meluasnya pelacuran yang tidak syak lagi telah merendahkan martabat wanita saat itu.

Poligami juga turut diamalkan oleh bangsa-bangsa lain seperti India purba, Babylon dan Asyurian. Kemudian dalam masyarakat Cina dahulu pula terdapat satu tradisi beristeri banyak yang dikenal dengan nama bergundik. Tradisi ini membolehkan seseorang suami itu menyimpan beberapa perempuan yang mereka sukai, di samping beberapa isteri yang dikahwini secara sah. Tradisi ini diamalkan kerana mereka merasa bangga andaikan mereka beranak ramai.

Selanjutnya, di kalangan para nabi-nabi pula dikatakan, Nabi Sulaiman mempunyai seratus orang isteri. Rabbaiyun (pengikut-pengikut Nabi Isa yang rapat dengannya) menghadkan poligami seramai empat orang perempuan berdalilkan kepada Nabi Allah Yaakub yang telah mengumpulkan empat orang isteri sahaja.

Jadi, tidak hairanlah sistem ini telah tersebar luas di kalangan orang-orang Arab Jahiliah. Bahkan mereka melaksanakannya secara bebas terhadap sesiapa saja dan berapa banyak perempuan yang mereka sukai.
Kebanyakan tujuan perkahwinan yang dilakukan sebelum kelahiran Nabi Muhammad adalah semata-mata untuk mencari kepuasan hawa nafsu. Oleh itu, lahirlah berbagai istilah nikah, yang di antaranya sebagai berikut;

Nikah al-Badal, iaitu perkahwinan tukar-menukar isteri di kalangan sesama saudara perempuan dan keluarga lainnya. Andaikan si suami ingin bertukar rasa, dia boleh mendapatkan rasa baru dari isteri orang lain atau dari salah seorang keluarganya sendiri, dengan syarat dia juga sanggup menyerahkan isterinya atau keluarganya yang lain jika ada yang menghendakinya.

Nikahul Mut'ah, iaitu sejenis cara perkahwinan yang bersifat sementara dengan cara menentukan tarikh berakhir dan bayaran. Perkahwinan jenis ini sangat digemari oleh ahli-ahli perniagaan yang tiba di kota Makkah pada waktu itu. Mereka bernikah hanya untuk memperolehi teman wanita beberapa ketika sahaja.

Nikahul Muqti, iaitu perkahwinan yang membolehkan anak lelaki sulung mempusakai isteri ayahnya setelah ayahnya meninggal dunia atau ayahnya bercerai. Sekiranya bekas ibu tirinya itu tidak begitu menarik kecantikannya atau dia memerlukan wang, maka ibu tiri itu boleh juga diperlakukan kepada orang lain dengan cara sewa, gadai dan sebagainya.

Ziwajul Akhdan, iaitu perkahwinan kongsi. Andaikan seorang gadis itu banyak yang menyukainya, maka lelaki-lelaki boleh berkongsi bersama-sama menjadikannya isteri.

Perkahwinan secara sewa atau gadai, misalnya orang miskin yang keputusan belanja boleh menyewakan atau menggadaikan anak gadisnya, isteri atau salah seorang wanita anggota keluarganya kepada si kaya berapa lama yang ditentukan mengikut perjanjian yang mereka buat bersama.

Demikianlah beberapa jenis perkahwinan di zaman jahiliah yang sedikit pun tidak menghargai wanita sebagai manusia. Mereka memperlakukannya dengan sikap yang sangat biadab.

Kemudian datanglah Islam yang membatasi jumlah isteri-isteri yang boleh mereka kahwini hanya sebanyak empat orang. Di antara sahabat-sahabat Rasulullah yang disuruh memilih empat orang isteri saja dan menceraikan selebihnya, setelah mereka memeluk agama Islam, ialah;

  1. Ghailan bin Salamah, menceraikan enam orang isterinya dan hanya memiliki empat orang isteri sahaja.
  2. Sufyan bin Abdullah, menceraikan enam orang isterinya dan hanya memiliki empat orang isteri sahaja.
  3. Mas'ud bin Amir, menceraikan enam orang isterinya dan hanya memiliki empat orang isteri sahaja.
  4. Qais bin al-Haritsah, menceraikan empat orang isterinya dan hanya memiliki empat orang isteri sahaja.
  5. Naufal bin Muawiyah, menceraikan seorang isterinya dan hanya memiliki empat orang isteri sahaja.
  6. Abdul Muttalib bin Hasyim, menceraikan dua orang isterinya dan hanya memiliki empat orang isteri sahaja.
  7. Abu Sufyan, menceraikan dua orang isterinya dan hanya memiliki empat orang isteri sahaja.
  8. Sofwan bin Umaiyah, menceraikan dua orang isterinya dan hanya memiliki empat orang isteri sahaja.

Dari keterangan-keterangan di atas, jelaslah bahawa poligami itu lahir bukanlah setelah lahimya Nabi Muhammad (s.a.w.), tetapi ia memang sudah ada sejak zaman dahulu lagi.