PENDAHULUAN

Islam memperbolehkan umatnya berpoligami (berbilang isteri) adalah sebagai satu jalan keluar untuk mensejahterakan mereka dalam menghadapi berbagai persoalan kehidupan. Namun, dari dahulu sampailah sekarang masih ada saja orang-orang dari kalangan umat Islam sendiri yang enggan menerimanya sebagai satu perintah dari Allah, khususnya dari kebanyakan kalangan kaum wanita. 

Walaupun pada dasarnya wanita tidak mahu dimadukan, wanita tidak sanggup menerima kasih yang berbelah bagi dari seorang suami, tetapi dalam mengharungi kehidupan berumahtangga, wanita Islam mestilah memahami serta menghayati hikmah dan syarat-syarat di sebalik poligami yang diperbolehkan oleh Islam. Mereka tidak boleh bersikap ego dengan memejamkan mata serta memekakkan telinga, sengaja tidak mahu memahami atau pura-pura tidak mahu tahu mengapa dan bila Islam memperbolehkan seseorang lelaki itu berpoligami. Kemudian mereka menampakkan sikap menolak atau menentangnya. Padahal sikap yang sedemikian rupa sangat dicemuh oleh Allah (SWT) dengan firman-Nya yang bermaksud;

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas dan nyata." (Al-Qur’an, Surah Al-Ahzab ayat 36) 

Oleh kerana itulah diharapkan artikel yang sederhana ini dapat menerangkan tujuan serta hikmah di sebalik poligami yang diperbolehkan dalam Islam kepada kaum Muslimah yang masih belum dapat menerimanya sebagai sesuatu yang dibenarkan oleh Allah.

Selanjutnya dapat pula dijadikan panduan bagi kaum lelaki yang berpoligami agar mereka tidak berkahwin sesuka hati. Sebab, walaupun banyak alasan untuk berpoligami, namun Islam melarang kalau poligami yang diizinkan itu dipergunakan oleh sebilangan kaum lelaki hanya untuk melepaskan hawa nafsu atau hanya untuk bersuka-suka sahaja. Jadi jelaslah, di sebalik kelonggaran diperbolehkan poligami, terdapat beberapa beban tanggungjawab yang berat yang mesti dipikul oleh suami, baik tanggungjawab terhadap isteri mahupun anak-anak. Rasulullah (s.a.w.) bersabda, maksudnya;

"Allah menuntut tanggungjawab kepada setiap orang mengenai sesuatu yang diamanahkan kepadanya, apakah dijaganya baik-baik atau disia-siakan." (Hadis riwayat Abu Nu'aim)

"Seseorang telah berbuat dosa bila ia menelantarkan keluarganya." (Hadis riwayat Muslim)

Dengan ini diharapkan agar jangan sampai ada kaum lelaki menganggap poligami yang diizinkan oleh Islam itu sebagai satu kesempatan yang sangat baik untuk dimanfaatkan tanpa memenuhi syarat-syarat yang diwajibkan dalam Islam. 

Semoga artikel ini dapat memberikan penjelasan kepada masyarakat tentang tujuan perkahwinan Rasulullah (s.a.w.) serta mencontohi sikap beliau dalam menjalani hidup berpoligami.

 

Hakcipta Terpelihara © 2001 Dokter Bantal