HIKMAH-HIKMAH POLIGAMI DALAM ISLAM
Islam membolehkan umatnya berpoligami bukanlah tanpa alasan
atau tujuan tertentu. Keharusan berpoligami ini mempunyai hikmah-hikmah untuk
kepentingan serta kesejahteraan umat Islam itu sendiri. Di antaranya ialah;
- Bahawa wanita itu mempunyai tiga halangan iaitu haid,
nifas dan keadaan yang belum betul-betul sihat selepas melahirkan. Jadi, dalam keadaan begini, Islam mengharuskan berpoligami
sampai empat orang isteri dengan tujuan kalau tiap-tiap isteri ada yang
haid, ada yang nifas dan ada pula yang masih sakit sehabis nifas, maka masih
ada satu lagi yang bebas. Dengan demikian dapatlah menyelamatkan suami
daripada terjerumus ke jurang perzinaan pada saat-saat isteri berhalangan.
- Untuk mendapatkan keturunan kerana isteri mandul tidak
dapat melahirkan anak. Atau kerana isteri sudah terlalu tua dan sudah putus
haidnya. Dalam pemilihan bakal isteri, Islam menyukai wanita yang dapat melahirkan
keturunan daripada yang mandul, walaupun sifat-sifat jasmaniahnya lebih menarik.
Ini dijelaskan oleh Rasulullah dengan sabdanya yang bermaksud, "Perempuan hitam yang mempunyai benih lebih baik dari
wanita-wanita cantik yang mandul."
- Bahawa kaum lelaki itu mempunyai daya kemampuan seks
yang berbeza-beza. Andaikan suami mempunyai daya seks yang luar biasa,
sedangkan isteri tidak dapat mengimbanginya atau sakit dan masa haidnya
terlalu lama, maka poligami adalah langkah terbaik untuk memelihara serta
menyelamatkan suami dari jatuh ke lembah perzinaan.
- Dengan poligami diharapkan agar dapat terhindar dari
terjadinya perceraian kerana isteri mandul, sakit atau sudah terlalu tua.
- Akibat peperangan yang biasanya melibatkan kaum
lelaki, maka jumlah wanita akan lebih banyak baik mereka itu masih gadis
mahupun janda.Dengan adanya poligami diharapkan janda-janda akibat
peperangan itu dapat diselamatkan serta diberi perlindungan yang sempurna.
Begitu juga untuk menghindari banyaknya jumlah gadis-gadis tua yang tidak
dapat merasakan hidup berumahtangga dan berkeluarga.
- Kerana banyaknya kaum telaki yang berhijrah pergi
merantau untuk mencari rezeki. Di perantauan, mereka mungkin kesepian baik ketika sihat
mahu pun sakit. Maka dalam saat-saat begini lebih baik berpoligami daripada
si suami mengadakan hubungan secara tidak sah dengan wanita lain.
- Untuk memberi perlindungan dan penghormatan kepada
kaum wanita dari keganasan serta kebuasan nafsu kaum lelaki yang tidak dapat
menahannya. Andaikan poligami tidak diperbolehkan, kaum lelaki akan
menggunakan wanita sebagai alat untuk kesenangannya semata-mata tanpa
dibebani satu tanggungjawab. Akibatnya kaum wanita akan menjadi simpanan
atau pelacur yang tidak dilayan sebagai isteri serta tidak pula mendapatkan
hak perlindungan untuk dirinya.
- Untuk menghindari kelahiran anak-anak yang tidak sah
agar keturunan masyarakat terpelihara dan tidak disia-siakan kehidupannya.
Dengan demikian dapat pula menjamin sifat kemuliaan umat
Islam. Anak luar nikah mempunyai hukum yang berbeza dari anak yang dari
pernikahan yang sah. Jika gejala ini dibiarkan berleluasa dan tidak
ditangani dengan hati-hati ia akan bakal menghancurkan umat Islam dan
merosakkan fungsi pernikahan itu sendiri.
Dengan keterangan-keterangan di atas, jelaslah poligami yang
diharuskan dalam Islam bukanlah untuk memenuhi nafsu seks sahaja bagi kalangan
kaum lelaki tetapi mempunyai maksud serta tujuan untuk kemaslahatan umat Islam
seluruhnya. Islam juga tidak memandang mudah akan syarat-syarat yang dikenakan
pada suami yang beristeri banyak. Sebab itulah bagi mereka secara tegas Allah
(SWT) mengingatkan, tanggungjawab mereka bukanlah mudah. Andai kata
ketentuan-ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah itu tidak dapat dipenuhi
oleh setiap suami yang berpoligami, maka dia akan beroleh dosa. Ini sudah tentu
bertentangan dengan ajaran Islam dan dilarang melakukannya.
|