TUJUAN RASULULLAH (S.A.W.) BERPOLIGAMI 

Rasulullah (s.a.w.) banyak memperoleh panggilan-panggilan yang berbeza-beza sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran, antara lain; 

  1. Sebagai Syahid (saksi), kerana beliau dibangkitkan ketika masyarakat di sekelilingnya hidup dalam kesesatan dan bergelumang dengan maksiat. Semua keburukan serta kebiadaban ini telah disaksikan sendiri oleh Rasulullah dan sedikit pun tidak terpengaruh dengannya.
  2. Sebagai Da'i yang mengajak manusia ke jalan kebenaran.
  3. Sebagai Basyir, penyebar khabar gembira untuk membawa manusia ke jalan Allah.
  4. Sebagai Sirajan Munira, menjadi penerang untuk menunjukkan jalan kesucian kepada mereka yang sesat dalam kegelapan hidup.
  5. Sebagai Nazir yang mengingatkan manusia akan akibatnya jika mereka tetap berdegil dalam kesesatan.

Dari gelaran-gelaran ini, menunjukkan bahawa kelahirannya ke dunia ini adalah membawa satu beban tanggungjawab yang sangat berat untuk kepentingan umat manusia. Oleh itu, setiap perbuatan mahupun tindakan yang beliau lakukan mempunyai tujuan untuk kesejahteraan umat, bukan untuk kepentingan peribadinya. 

Maka begitu jugalah halnya tentang tujuan beliau berpoligami. Dan ini dapat dilihat bahawa setiap wanita yang dikahwininya, pasti mempunyai sebab-sebab tertentu.

Berikut dinyatakan tentang isteri-isteri rasulullah dan sebab-sebab mengapa perkahwinan itu terjadi. (Sila klik nama isteri-isteri Rasulullah untuk keterangan yang lebih terperinci.)

1.    Khadijah binti Khuwailid (r.a.)
2.    Saudah binti Zam'ah bin Qais (r.a.)
3.    Aisyah binti Abu Bakar (r.a.)
4.    Hafsah binti Umar (r.a.)
5.    Siti Zainab binti Khuzaimah (r.a.)
6.    Ummu Salamah @ Hindun binti Umaiyah (r.a.)
7.    Zainab binti Jahsyi (r.a.)
8.    Siti Juwairiyah @ Barrah binti Harits (r.a.)
9.    Ummu Habibah @ Ramlah binti Abi Sufyan (r.a.)
10.  Siti Shafiyah binti Huyai (r.a.)
11.  Siti Maimunah binti al-Harits / al-Hilaliyah (r.a.)
12.  Mariah al-Qibtiyah (r.a.)

Dari keterangan-keterangan yang tersebut, maka dapatlah kiranya diambil kesimpulan bahawa setiap perkahwinan yang dilakukan oleh Rasulullah mempunyai maksud serta tujuan yang mulia. Maka, tertolaklah segala tuduhan-tuduhan jahat dari orientalis Barat, yang sengaja ingin menghina serta menjatuhkan Islam.

Pada garis besarnya dapat dibuat kesimpulan, perkahwinan Rasulullah mengandungi tujuan-tujuan sebagai berikut;

  1. Rasulullah berkahwin lebih dari satu bukanlah didorong oleh nafsunya. Tetapi untuk menyiarkan syi'ar Islam untuk semua umat manusia di dunia ini.

  2. Memberi penghormatan serta perlindungan kepada wanita, di mana sebilangan besar dari isterinya adalah janda-janda yang memerlukan pelindung.

  3. Memuliakan serta memberi penghormatan kepada kaum keluarga ataupun para sahabatnya, sepertimana beliau telah mengahwini Hafsah binti Umar bin Khattab dan Zainab binti Jahsyi.

  4. Melalui perkahwinan, Rasulullah juga telah dapat meredakan rasa dendam serta permusuhan di antara kabilah-kabilah Arab.

  5. Menarik tokoh-tokoh berpengaruh Quraisy ke dalam agama Islam yang kemudiannya sama-sama pula berjuang untuk menegakkan Islam.

  6. Setelah beliau wafat, isteri-isteri beliau telah banyak memainkan peranan penting baik dalam meriwayatkan hadis mahupun pendapat-pendapat yang berhubungan dengan soal feqah.

  7. Memberi perlindungan serta kasih sayang kepada anak-anak yatim yang kehilangan ayah ketika berjuang menegakkan agama Allah.

  8. Sebagai tanda penghormatan kepada para sahabat yang menjadi syahid, beliau mengahwini isteri-isteri mereka untuk meneruskan tanggungjawab sebagai suami serta pelindung sesebuah rumahtangga.

  9. Menjelaskan kedudukan hukum, bahawa Islam memperbolehkan seseorang itu mengahwini bekas isteri anak angkatnya sebagaimana terjadinya peristiwa Zaid bin Haritsah.

  10. Memerdekakan para tawanan perang dari sesuatu kabilah melalui perkahwinan dengan salah seorang wanita yang menjadi tawanan.

  11. Sebagai penghargaan atas sikap lemah-lembut orang yang bukan beragama Islam, sebagaimana beliau menikahi Mariah al-Qibtiyah yang dihadiahkan oleh Raja Muqauqis dari Mesir.

  12. Untuk menambah penyokong serta penganut Islam yang seterusnya akan memperjuangkan tegaknya agama Allah itu dari masa ke masa.

 

Hakcipta Terpelihara © 2001 Dokter Bantal