KHADIJAH BINTI KHUWAILID (R.A)

Beliau mengahwini Khadijah adalah untuk membalas jasa baiknya yang telah memberi sepenuh kepercayaan kepada beliau untuk mengurus perniagaannya. Walaupun jarak umur di antara mereka berdua jauh berbeza, tetapi cinta Rasulullah kepada isterinya ini sedikit pun tidak berbelah bagi. Wanita inilah juga yang telah melahirkan anak-anaknya seperti Qasim, Abdullah, Zainab, Ummu Kalsum, Fatimah dan Ruqaiyah.

Khadijah juga adalah isteri yang banyak memberi kekuatan jiwa bagi Rasulullah ketika dia menghadapi banyak cabaran sebelum mahupun sesudah diangkat menjadi nabi. Dia tidak pernah menghalang kepergian suaminya ke gua Hirak, bahkan dengan taat dan rela, dia membawakan bekalan buat suaminya yang sedang beribadah serta bertafakur kepada Allah (SWT).

Apa pun yang dilakukan oleh Rasulullah dipercayai olehnya sehingga dia merupakan wanita pertama yang beriman dengan Islam. Wanita yang lemah-lembut ini sentiasa berdiri di samping suaminya untuk memberi dorongan serta menyokongnya ketika menghadapi segala macam masalah.

Setelah mengharungi hidup bahagia bersama selama 25 tahun lamanya, maka Khadijah pun meninggal dunia, sedangkan Rasulullah pada waktu itu berusia lebih dari 50 tahun.

Kepergian Khadijah ini amatlah menyedihkan hati Rasulullah sehingga tahun ini dikenal dengan Amul Huzni, yakni tahun berdukacita.

Kecintaan serta kesetiaan Rasulullah terhadap Khadijah tidak pernah pudar. Beliau selalu terkenangkan isterinya ini sepanjang hayatnya. Oleh itu pernah pada suatu ketika salah seorang isterinya merasa cemburu (kerana beliau selalu menyebut-nyebut tentang Khadijah, padahal dia telah meninggal dunia), beliau berkata dengan marah, "Tidak, demi Allah, Allah tidak menukarkan aku dengan yang lebih baik daripadanya. Dia telah beriman kepadaku ketika manusia menjadi kafir. Dia mempercayaiku ketika manusia membohongiku. Dia mencurahkan hartanya kepadaku ketika manusia menyekatnya daripadaku. Kemudian darinya pula Allah telah mengurniakanku beberapa orang anak yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain."

Demikianlah wanita yang bernama Khadijah yang telah dikahwini oleh Rasulullah, ketika itu adalah seorang janda yang pernah berkahwin sebanyak dua kali. Dan umurnya 15 tahun jauh lebih tua daripada Rasulullah. Namun demikian beliau sangat menyintainya.

 

Hakcipta Terpelihara 2001 Dokter Bantal