'AISYAH BINTI ABU BAKAR (R.A.)

Abu Bakar adalah seorang sahabat Nabi yang tidak perlu diragukan lagi tentang kesetiaannya terhadap Islam. Jiwa raga serta hartanya telah dikorbankan untuk kepentingan agama Allah. Dia jugalah orang pertama yang membenarkan segala yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w.). Kerana itu, dia termasuk orang yang paling dekat kepada baginda dan sama-sama merasa serta menanggung kesusahan mahu pun kesenangan.

Sikap Abu Bakar yang sedemikian rupa ini sangat dihormati oleh Rasulullah. Untuk membalas budi baiknya dan mengeratkan lagi ikatan di antara mereka berdua, maka Allah telah mewahyukan agar beliau menikahi Aisyah. Tetapi ada dua perkara yang timbul yang menyebabkan perkahwinan ini terhalang;

  1. Bahawa Aisyah telah ditunangkan dengan Jubair bin Mut'in. Kemudian secara kebetulan pertunangan itu telah diputuskan lantaran permusuhan di antara kaum Muslim dan kafir semakin menjadi-jadi. Dengan ini maka dapatlah Rasulullah menikahi Aisyah.
  2. Pada masa itu usia Aisyah masih sangat muda (9-10 tahun). Untuk menyelesaikan masalah ini, maka mereka menangguhkan pelaksanaan perkahwinan tersebut sehingga Aisyah dewasa. Ini bererti perkahwinan yang berlangsung pada 9 Syawal tahun 10 Bi’tsah itu sebenarnya merupakan masa pertunangan sebab pada tahun kedua Hijrah, barulah mereka hidup rasmi sebagai suami isteri. Pada ketika itu Aisyah telah berusia 14 - 15 tahun, sedangkan Rasulullah berusia 54 - 55 tahun.

Aisyah adalah seorang wanita yang bijak, kuat daya ingatannya dan alim dalam agama. Kerana itu, dia banyak menghafal hadis-hadis Nabi serta meriwayatkannya. Dia juga mampu memahami apa yang sulit difahami oleh kaum sejenisnya tentang hukum-hukum yang berhubung dengan perkara-perkara khusus. Bukan setakat itu saja, dia juga seorang yang fasih, mempunyai kekuatan hujjah dan banyak menghafal syair. Maka tidak hairanlah para Muslimat, khususnya, dan para sahabat pada waktu itu apabila mereka mengalami kemusykilan tentang sesuatu masalah agama, mereka akan pergi kepada Aisyah untuk diminta fatwanya.

Menurut pangakuan Urwah; "Saya belum pernah melihat seorang yang lebih alim tentang fikah, perubatan dan syair selain dari Aisyah."

Kemudian menurut Masruq; "Saya lihat para syeikh dari kalangan para sahabat Rasulullah bertanya kepada Aisyah tentang faraidh." Az-Zahabi menambah; "Aisyah adalah salah seorang fuqahaa yang terbesar dari golongan sahabat. Para fuqahaa dari sahabat Rasulullah (s.a.w.) merujuk kepadanya."

Selanjutnya, Abu Musa Al-Asy'ari berkata, "Andainya terdapat hadis yang menjadi musykil kepada kami para sahabat Rasulullah kami tanyakan kepada Aisyah dan kami dapati darinya ilmu."

Setelah Rasulullah wafat, Siti Aisyah aktif sebagai guru besar. Kebolehannya ini telah dapat dilihat oleh Rasulullah mahupun ayahnya sendiri sejak sebelum dia dikahwinkan. Oleh itu, sangatlah tepat Aisyah dipilih untuk menjadi pendamping beliau. Sebab perkahwinan ini telah mendatangkan kebaikan kepada umat Islam, sebagaimana yang telah dite-gaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud; 

"Ambillah setengah agamamu dari al-Humaira (Aisyah)." (Hadis riwayat Tabrani)

 

Hakcipta Terpelihara © 2001 Dokter Bantal