HAFSAH BINTI UMAR (R.A.)

Ketika berlaku peperangan Badar, Khunais telah gugur sebagai syahid. Dia meninggalkan seorang janda muda yang berusia 18 tahun. Janda itu adalah anak Umar bin Khattab seorang sahabat Nabi yang terkemuka. Kepergian Khunais telah membuat Hafsah serta bapanya merasa sangat bersedih hati. Kesedihan yang dialami oleh Hafsah telah menjejaskan kesihatan tubuhnya. Dia sering kelihatan suram dan layu. Sebagai seorang bapa, Umar tidak sampai hati menyaksikan penderitaan yang sedang dirasakan oleh puterinya itu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk mengahwinkan Hafsah kepada orang lain.

Pilihannya jatuh kepada Abu Bakar. Lalu dia menanyakan persetujuan dari Abu Bakar. Tetapi Abu Bakar hanya mendiamkan diri tanpa sebarang jawapan. Kerana itu dia datang pula kepada Usman yang baru saja kematian isterinya (Ruqaiyah binti Rasulullah). Tapi Usman juga menolaknya secara halus dengan alasan bahawa ketika itu dia belum mahu berkahwin.

Sikap kedua orang sahabat ini menyebabkan Umar merasa bertambah sedih. Sebab, dia cukup faham tentang kekerasan hati puterinya dan ini jugalah yang mungkin menjadi penyebab utama mengapa sahabat-sahabat takut untuk meminangnya.

Kesedihan ini telah diceritakan Umar kepada Rasulullah. Dan apabila baginda mendengar keluhan hati Umar, dengan wajah yang manis beliau menjawab; "Biarlah, nanti Hafsah akan bersuamikan seorang yang lebih baik daripada Usman, dan Usman pula akan beristerikan seorang yang lebih baik daripada Hafsah." Lalu beliau katakan bahawa beliau sendiri yang akan menikahi Hafsah sebagai isterinya. Mendengar pengakuan ini, Umar menjadi sangat gembira dan berbesar hati.

Adapun tujuan Rasulullah mengahwini Hafsah antara lain adalah;

  1. Untuk memberi perlindungan kepada bekas seorang janda pejuang yang mati syahid dalam menegakkan syiar Islam.
  2. Untuk mengeratkan lagi tali persahabatan di antaranya dan sahabat Umar.
  3. Untuk memuliakan Umar sebagaimana beliau telah memuliakan Abu Bakar dengan mengahwini puterinya juga.

Sebenarnya Hafsah bukanlah sebarang wanita. Sebab, al-Quran diturunkan dalam loghat Quraisy dan Hafsah adalah salah seorang wanita Mukminah yang sangat fasih membacanya sebagaimana Rasulullah. Oleh itu, dialah yang menyimpan teks al-Quran di rumahnya yang kemudian telah diambil oleh Khalifah Usman untuk dijadikan mushaf yang sempurna seperti sekarang ini.

 

Hakcipta Terpelihara © 2001 Dokter Bantal