UMMU SALAMAH @ HINDUN BINTI UMAIYAH (R.A.)

Beliau dikenali juga dengan nama Hindun binti Umaiyah. Suaminya, Abdullah bin Asad adalah orang yang sangat dicintainya. Lelaki ini adalah seorang sahabat yang setia memperjuangkan serta mengembangkan Islam semasa hayatnya. Tetapi Allah lebih dahulu memanggilnya. Dia telah gugur sebagai syahid dalam peperangan Uhud. Kepergian Abdullah telah membuat Ummu Salamah sangat berdukacita. Bahkan dia merasa tidak ada seorang lelaki pun yang akan dapat merebut hatinya setelah Abdullah. Ketika itu dia juga mempunyai anak yang ramai hasil perkongsian hidupnya dengan Abdullah.

Walaupun banyak orang yang datang meminangnya tapi kesemuanya ditolak oleh Ummu Salamah, meskipun dia tahu mereka berbuat demikian kerana ingin bersama menjaga anak-anaknya itu.

Rasulullah lalu datang meminangnya dengan tujuan;

  1. Untuk menghilangkan rasa sedih serta menghormati jasa-jasa suaminya terhadap Islam.
  2. Untuk sama-sama memelihara anak-anak yang ditinggal oleh ayahnya demi Islam.
  3. Untuk memuliakan serta menghormati isteri dari golongan orang yang baik-baik.

Pada waktu Rasulullah menyatakan hasratnya untuk mengahwininya, Zainab berkata, "Hamba ini sudah tua dan mempunyai beberapa orang anak yatim. Dan semua orang tahu betapa hamba sangat sayangkan suami hamba itu. Lagi pun, hamba adalah seorang wanita yang sangat cemburu."

Mendengar ini, Rasulullah menjawab, "Sesungguhnya saya lebih tua dari mu, ya Ummu Salamah. Adapun tentang anak-anakmu ada Tuhan yang melindungi mereka dan Tuhan tidak akan mensia-siakan mereka. Mereka di bawah jagaan Tuhan serta dalam pemeliharaan Rasul-Nya. Tentang dirimu pula, Tuhan akan menggantikan dengan suami yang lebih baik dari Abdullah dan cemburumu itu, Allah akan menghilangkannya."

Demikianlah sikap Rasulullah terhadap janda seorang sahabat yang mati syahid. Kerana Ummu Salamah adalah seorang wanita yang berfikiran tajam serta tenang dalam menghadapi sebarang masalah, maka dia selalu diajak oleh Rasulullah untuk bermusyawarah ketika ada masalah-masalah yang sulit yang sedang dihadapi oleh baginda.

 

Hakcipta Terpelihara © 2001 Dokter Bantal