SITI JUWAIRIYAH @ BARRAH BINTI HARITS (R.A.)

Dia adalah puteri kepada pemimpin Bani Muthaliq yang memusuhi Islam. Pada mulanya Rasulullah pemah mengirimkan utusan yang mengajak Bani Muthaliq untuk menerima Islam sebagai agama mereka. Tetapi mereka enggan menerima ajakan ini, bahkan mencabar Rasulullah. Oleh itu terjadilah peperangan yang tidak dapat dielakkan antara kaum Muslimin dan Bani Muthaliq. Peperangan ini berakhir dengan kemenangan bagi pihak Islam. Dan sejumlah besar dari mereka telah dijadikan tawanan.

Siti Juwairiyah yang pada masa itu bernama Barrah, telah jatuh ke tangan Tsabit bin Qais sebagai tawanan perang. Dia diperbolehkan menebus dirinya dengan syarat dapat membayar tujuh tahil emas kepada tuannya. Tetapi wanita tersebut tidak memiliki wang sebanyak itu. Lantas ayahnya yang bernama Harits telah datang menghadap Rasulullah. Beliau menceritakan maksudnya untuk membebaskan puterinya yang telah ditinggal mati oleh suaminya itu.

Akhirnya Rasulullah telah memerdekakannya dan sekaligus mengahwininya. Sejak hari itu Rasulullah menamakan Barrah dengan Siti Juwairiyah. Perkahwinan Rasulullah ini telah diketahui oleh kaum Muslimin lainnya. Mereka berkata sesama sendiri, "Sesungguhnya mereka menjadi kerabat Rasulullah dan sudah tentu mereka yang menjadi tawanan kita tidak boleh kekal dalam milik kita lagi."

Lalu mereka pun membebaskan saki baki tawanan Bani Muthaliq dari tangan mereka. Berkat perkahwinan ini juga sejumlah besar, yakni lebih kurang 600 orang, dari Bani Muthaliq turut memeluk agama Islam.

Jadi jelaslah sudah kepada kita perkahwinan Rasulullah kali ini mempunyai hikmah sebagai berikut;

  1. Menghapus rasa dendam Bani Muthaliq terhadap kaum Muslimin akibat kekalahan mereka dalam peperangan.
  2. Melindungi seorang janda kematian suami, sekaligus untuk menghindarkan dirinya dari dunia perhambaan.
  3. Meringankan beban yang ditanggung oleh Bani Muthaliq dengan diperolehnya kemerdekaan secara beramai-ramai.
  4. Masuknya sejumlah besar kaum Bani Muthaliq ke dalam agama Islam yang mengakibatkan bertambah banyaknya penyokong agama tersebut.

Lantaran inilah Sayidatina Aisyah berkata, "Yang kami tahu, wanita yang berjasa ke atas kaumnya hanyalah Juwairiyah."

Maksudnya, melalui perkahwinan Rasulullah dengan wanita tersebut, pintu hati kaum Bani Muthaliq terbuka secara sukarela memilih Islam sebagai agama mereka.

 

Hakcipta Terpelihara 2001 Dokter Bantal