SITI MAIMUNAH BINTI AL-HARITS / AL-HILALIYAH (R.A.)

Dia adalah seorang puteri al-Hilaliyah yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan para bangsawan Arab. Ini dikeranakan adik-adiknya, iaitu Ummi Fadhl Lababah al-Kubra menjadi isteri Abbas bin Abdul Muttalib, Lababah as-Sughra isteri kepada Walid bin Mughirah (ibu kepada Khalid bin al-Walid), 'Asmaa isteri kepada Ubai bin Khalaf dan Izzah menjadi isteri kepada Zaiyad bin Abdullah al-Hilali.

Kemudian adik-beradik seibunya iaitu 'Asmaa binti 'Umais dikahwini oleh Ja'far bin Abi Thalib, Salma binti 'Umais isteri kepada Hamzah bin Abdul Muttalib dan Salamah binti 'Umais pula isteri kepada Abdullah bin Ka'b.

Ketika Rasulullah sedang mengerjakan 'Umrah al-Qadha, bapa saudaranya, 'Abbas bin Abdul Muttalib, datang menemuinya sambil berkata, "Ya Rasulullah, Maimunah binti al-Harits telah menjadi janda. Adakah tuan hendak mengahwininya?"

Lalu beliau menerimanya. Menurut Siti Aisyah, Siti Maimunah adalah seorang wanita yang takwa dan sangat mengambil berat tentang silaturahmi. Ketika itu dia berusia lebih dari 50 tahun dan seorang janda yang miskin.

Dengan perkahwinan ini bererti;

  1. Rasulullah menunjukkan sikapnya yang memuliakan bapa saudaranya ('Abbas) serta sebagai tanda terima kasihnya kepada beliau yang telah banyak memberi perlindungan sekaligus dorongan ketika Rasulullah mula-mula menyiarkan syiar Islam. Oleh itu, Rasulullah tidak menolak apabila 'Abbas meminta agar beliau mengahwini Maimunah. Walaupun ketika itu wanita tersebut sudah berumur dan pernah menjadi janda sebanyak dua kali. Demikianlah Rasulullah melakukannya demi untuk kebaikan kerabatnya sendiri.
  2. Kemudian dari perkahwinan ini, dapat ditarik ke dalam barisan Islam dua orang tokoh kafir Quraisy yang berpengaruh iaitu Khalid bin al-Walid dan Abdullah bin 'Abbas.

 

Hakcipta Terpelihara 2001 Dokter Bantal