PERKAHWINAN RASULULLAH (S.A.W.)Pada mulanya Rasulullah (s.a.w.) hanya berkahwin dengan seorang isteri sahaja iaitu Khadijah binti Khuwailid. Mereka hidup bersama sebagai suami isteri yang bahagia selama 25 tahun. Kemudian setelah wanita itu meninggal dunia, barulah beliau berpoligami sehingga ke akhir hayatnya. Bahkan ketika Rasulullah wafat, beliau meninggalkan sembilan orang isteri. Perkahwinan Rasulullah ini banyak menimbulkan pertelingkahan pendapat, terutama di kalangan para orientalis barat yang menganggap perkara tersebut sebagai penghinaan terhadap kaum wanita. Mereka juga menuduh bahawa perbuatan tersebut sangat memalukan, apa lagi yang melakukannya adalah seorang Rasul Allah. Sedangkan di kalangan kaum Muslimin pula, ada yang berpendapat hahawa mereka boleh mengikuti perkahwinan Rasulullah iaitu beristeri lebih dari empat orang. Ini semua terjadi kerana mereka tidak mahu melihat serta meneliti sebah-sebab Rasulullah berpoligami dan hukum-hakam Islam yang betul. Sebagaimana yang diketahui, mengikuti Rasulullah adalah wajib. Tetapi terhatas pada masalah-masalah yang tidak dikhususkan kepada beliau. Misalnya dalam soal perkahwinan ini. Sebab Allah telah menetapkan bagi umat Islam (selain Rasulullah) berkahwin tidak lebih dari empat, sebagaimana firman-Nya yang disebutkan dalam Surah an-Nisa’, ayat 3. Sebelum ayat di atas diturunkan, Allah telah menurunkan ayat-ayat berisikan hukum-hukum yang lain yang ditujukan khusus kepada Rasulullah. Allah berfirman; “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan mas kahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dan apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya. Perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang yang beriman umumnya. Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang Mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 50) “Engkau boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau boleh mendampingi sesiapa yang engkau kehendaki, dan sesiapa yang engkau hendak mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu maka tidaklah menjadi salah bagimu melakukannya, kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula redha akan apa yang engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.” (Surah al-Ahzab, ayat 51) “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya, tetapi apabila kamu dijemput, maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan), kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah, dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat, selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya disisi Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 53) Kesemua ayat di atas mengandungi hukum-hukum yang khusus untuk Rasulullah dan hal ini jelas nampak dari permulaan ayat, dengan firman Allah; "Wahai Nabi". Allah telah menghalalkan untuk Nabi (s.a.w.) semua isteri-isterinya dan mengharamkan manusia menikahi isteri-isterinya setelah beliau wafat. Setelah itu pada tahun keenam Hijrah, barulah turun ayat membataskan jumlah wanita yang boleh dikumpulkan sebagai isteri. Yakni tidak boleh lebih dari empat orang sahaja. Dan Nabi Muhammad sendiri, setelah turun ayat ini beliau tidak lagi menikahi wanita-wanita lain sehingga akhir hayatnya kerana Allah (SWT) juga memerintahkannya untuk berbuat demikian dengan firman-Nya; “Tidaklah halal bagimu perempuan-perempuan sesudah yang sekarang ini (iaitu sembilan orang), dan tidak pula boleh menukarnya dengan isteri yang lain.” (Surah al-Ahzab, ayat 52) Sebenarnya banyak lagi bukti-bukti yang dapat dipaparkan untuk menunjukkan bahawa poligami yang dilakukan oleh Rasulullah bukanlah didorong oleh nafsu seks yang kuat. Sebab, dalam kehidupan sehari-harinya, Rasulullah sejak dari kecil lagi tidak pernah hidup berfoya-foya. Begitu juga setelah beliau dewasa, beliau tidak pernah berbuat maksiat kerana Allah (SWT) memelihara dirinya dari perkara-perkara yang tidak baik. Beliau tidak pernah melakukan keburukan, sehingga tangannya tidak pernah menyentuh tangan perempuan kecuali para isterinya, perempuan yang haram nikah dengannya dan hamba-hambanya. Jangankan untuk berfoya-foya dengan wanita, membuat maksiat lain pun dia tidak pernah. Pernah suatu ketika (sebelum dilantik menjadi rasul) beliau ingin berhibur diri untuk mendengarkan bunyi gendang serta seruling di satu majlis perkahwinan. Sebaik saja beliau duduk di situ, maka Allah telah menidurkannya sehingga pagi hari. Semenjak itu beliau selalu terpelihara dari maksiat kerana Allah memuliakannya. Biasanya orang yang suka bermain perempuan, gemar dengan segala kehidupan yang serba mewah. Tetapi Rasulullah adalah manusia yang sangat zuhud menghadapi hidup ini. Di antara bukti-bukti kezuhudannya ialah;
Sesungguhnya kalau kita meneliti sejarah perjuangan beliau yang selalu disibukkan sebagai seorang pelaksana hukum syarak, pentadbir negara, imam sembahyang, hakim bagi umat Islam dan pembawa risalah samawi, tentulah tidak ada masa lapang untuknya hidup berfoya-foya, kerana beliau sama sekali tidak pernah berehat dari perjuangan yang penuh dengan berbagai macam penderitaan. Sejarah banyak menerangkan bahawa ketika beliau berkahwin dengan Khadijah, saat itu Khadijah adalah wanita yang sudah dua kali hidup menjanda dan 15 tahun jauh lebih tua dari beliau. Walau demikian beliau tidak pernah bersikap curang, malahan beliau telah mencurahkan seluruh kasih sayang kepada isterinya yang tercinta itu. Sekiranya Rasulullah telah menjadi hamba hawa nafsu (seperti yang dituduhkan), tentulah mudah baginya untuk berpoligami. Sebab poligami telah menjadi adat kebiasaan bangsa Arab pada waktu itu. Tambahan pula Khadijah adalah seorang bangsawan dan ini memudahkan baginya beristeri banyak. Tetapi ini semua tidak beliau lakukan. Malah, beliau hidup bersama isterinya ini sampai wafat. Setelah 3 tahun lamanya Khadijah meninggal dunia, barulah beliau kahwin lagi dengan tujuan-tujuan tertentu. Dan hampir kesemua isteri-isterinya adalah janda-janda yang kurang menarik dalam hal kekayaan serta kecantikan. Hanya Aisyah seorang sahaja yang dikahwininya dalam keadaan masih anak dara. |