PETUA BERGUNA

  1. Mengubati Sakit Pinggang Selepas Bersalin - Selepas melahirkan anak, pinggang kita tentu merasa sakit dan tidak begitu kuat. Akar kapas boleh menguat dan memulihkan pinggang. Caranya; Ambil akar pohon kapas secukupnya. Potong sepanjang 7.5 - 10 cm, cuci dan rebus dengan air secukupnya  untuk tiga kali minum. Lakukan selama 3 hari berturut-turut.
  2. Halia Boleh Hapuskan Panau - Jika anda berpanau, tentu memalukan. Apatah lagi, jika panau ketara seperti  di muka. Cuba petua ini : Ambil sepotong halia, tumbuk lumat. Kemudian tempelkan pada tempat berpanau.
  3. Pucuk Daun Jambu Batu Mengubati Cirit-Birit - Bagi mereka yang mengalami cirit-birit, bolehlah cuba mengamalkan makan pucuk jambu batu. Caranya: Rendam pucuk jambu batu itu di dalam air panas bersama sedikit garam untuk membersih kekotoran pada pucuk jambu itu. Setelah agak layu, bolehlah terus dimakan. Insya'allah sakit anda akan sembuh dan usus-usus berfungsi dengan baik semula.
  4. Supaya Rambut Lebat Dan Hitam Berkilat - Setiap orang inginkan rambut yang cantik dan sihat bersinar. Begini petua melebatkan rambut serta melambatkan pertumbuhan uban. Bahannya: 5 helai daun pandan, 10 helai daun cekur manis sederhana tua, sebiji  kelapa parut  dan semangkuk air masak, setengah cawan  air untuk membancuh  daun cekur manis dan daun pandan. Daun pandan dan cekur manis ditumbuk lumat atau digiling, dibancuh dengan air lalu diambil patinya. Semangkuk santan dicampur dengan pati pandan dan cekur untuk dimasak. Apabila sudah jadi minyak kekuning-kuningan, tapis ambil minyaknya, tahi minyaknya diasingkan atau dibuang. Minyak ini elok dipakai pada rambut tiga kali seminggu.
  5. Cara Membuat Agar Kacang Hijau Cepat Empuk - Apabila kita merebus kacang hijau, masukkan sedikit minyak masak ke dalam periuk dan letakkan di atas api. Banyaknya minyak masak yang hendak digunakan bergantung pada banyaknya kacang hijau yang hendak direbus. Kalau sekilo kacang, masukkan setengah camca minyak.
  6. Cara Hilangkan Bau Nasi Hangit - Jika ingin menghilangkan bau nasi yang hangit, ambillah beberapa helai daun limau purut, carik-carikkan dan masukkan ke dalam nasi hangit kemudian tutup semula  tudung periuk. Pasti nasi berbau harum.
  7. Agar Kain Batik Tidak Luntur - Untuk mengelak kain batik daripada luntur warnanya dan mudah pudar, eloklah menggunakan daun betik agar warna kain tetap cantik dan nampak baru. Caranya: beberapa helai daun betik dan rebus bersama air. Ketika air rebusan masih panas, masukkan kain batik dan rendam semalaman. Setelah itu bolehlah dicuci seperti biasa.
  8. Asam Jawa Mengubati Perut Bayi Yang Sebu - Jika bayi sukar buang air besar, cubalah ambil sedikit asam jawa dan gaul atau ramas dengan sedikit air, biarkan ia agak pekat kemudian sapulah pada bahagian ubun-ubun bayi anda dan juga pada bahagian pusatnya. Cubalah petua ini dan amalkan setiap hari.
  9. Beras Boleh Membuat Botol Susu Berkilat - Masukkan sedikit beras ke dalam botol susu, dicampur air panas atau sejuk. Goncangkan botol susu itu. Hasilnya, bukannya saja botol bersih, puting susu turut hilang dakinya. Petua ini boleh juga dicuba untuk membersihkan botol air plastik yang lain.