TUJUAN RASULULLAH (S.A.W.)
BERPOLIGAMI
Rasulullah (s.a.w.) banyak memperoleh
panggilan-panggilan yang berbeza-beza sebagaimana yang disebutkan dalam
al-Quran, antara lain;
- Sebagai Syahid (saksi), kerana beliau
dibangkitkan ketika masyarakat di sekelilingnya hidup dalam kesesatan dan
bergelumang dengan maksiat. Semua keburukan serta kebiadaban ini telah
disaksikan sendiri oleh Rasulullah dan sedikit pun tidak terpengaruh
dengannya.
- Sebagai Da'i yang mengajak manusia ke
jalan kebenaran.
- Sebagai Basyir, penyebar khabar
gembira untuk membawa manusia ke jalan Allah.
- Sebagai Sirajan Munira, menjadi
penerang untuk menunjukkan jalan kesucian kepada mereka yang sesat dalam
kegelapan hidup.
- Sebagai
Nazir yang mengingatkan manusia akan akibatnya jika mereka tetap berdegil
dalam kesesatan.
Dari
gelaran-gelaran ini, menunjukkan bahawa kelahirannya ke dunia ini adalah membawa
satu beban tanggungjawab yang sangat berat untuk kepentingan umat manusia. Oleh
itu, setiap perbuatan mahupun tindakan yang beliau lakukan mempunyai
tujuan untuk kesejahteraan umat, bukan untuk kepentingan peribadinya.
Maka
begitu jugalah halnya tentang tujuan beliau berpoligami. Dan ini dapat dilihat
bahawa setiap wanita yang dikahwininya, pasti mempunyai sebab-sebab tertentu.
Pada garis besarnya
dapat dibuat kesimpulan, perkahwinan Rasulullah mengandungi tujuan-tujuan
sebagai berikut;
-
Rasulullah
berkahwin lebih dari satu bukanlah didorong oleh nafsunya. Tetapi untuk
menyiarkan syi'ar Islam untuk semua umat manusia di dunia ini.
-
Memberi
penghormatan serta perlindungan kepada wanita, di mana sebilangan besar dari
isterinya adalah janda-janda yang memerlukan pelindung.
-
Memuliakan serta
memberi penghormatan kepada kaum keluarga ataupun para sahabatnya,
sepertimana beliau telah mengahwini Hafsah binti Umar bin Khattab dan Zainab
binti Jahsyi.
-
Melalui
perkahwinan, Rasulullah juga telah dapat meredakan rasa dendam serta
permusuhan di antara kabilah-kabilah Arab.
-
Menarik tokoh-tokoh
berpengaruh Quraisy ke dalam agama Islam yang kemudiannya sama-sama pula
berjuang untuk menegakkan Islam.
-
Setelah beliau
wafat, isteri-isteri beliau telah banyak memainkan peranan penting baik
dalam meriwayatkan hadis mahupun pendapat-pendapat yang berhubungan dengan
soal feqah.
-
Memberi
perlindungan serta kasih sayang kepada anak-anak yatim yang kehilangan ayah
ketika berjuang menegakkan agama Allah.
-
Sebagai tanda
penghormatan kepada para sahabat yang menjadi syahid, beliau mengahwini
isteri-isteri mereka untuk meneruskan tanggungjawab sebagai suami serta
pelindung sesebuah rumahtangga.
-
Menjelaskan
kedudukan hukum, bahawa Islam memperbolehkan seseorang itu mengahwini bekas
isteri anak angkatnya sebagaimana terjadinya peristiwa Zaid bin Haritsah.
-
Memerdekakan para
tawanan perang dari sesuatu kabilah melalui perkahwinan dengan salah seorang
wanita yang menjadi tawanan.
-
Sebagai penghargaan
atas sikap lemah-lembut orang yang bukan beragama Islam, sebagaimana beliau
menikahi Mariah al-Qibtiyah yang dihadiahkan oleh Raja Muqauqis dari Mesir.
-
Untuk menambah
penyokong serta penganut Islam yang seterusnya akan memperjuangkan tegaknya
agama Allah itu dari masa ke masa.
Dari
keterangan-keterangan yang tersebut, maka dapatlah kiranya diambil kesimpulan
bahawa setiap perkahwinan yang dilakukan oleh Rasulullah mempunyai maksud serta
tujuan yang mulia. Maka, tertolaklah segala tuduhan-tuduhan jahat dari
orientalis Barat, yang sengaja ingin menghina serta menjatuhkan Islam.
Berikut
dinyatakan tentang isteri-isteri Rasulullah dan sebab-sebab mengapa perkahwinan
itu terjadi. (Sila klik nama isteri-isteri Rasulullah untuk keterangan yang
lebih terperinci.)
- Khadijah binti Khuwailid (r.a.)
- Saudah binti Zam'ah bin Qais (r.a.)
- Aisyah
binti Abu Bakar (r.a.)
- Hafsah
binti Umar (r.a.)
- Siti
Zainab binti Khuzaimah (r.a.)
- Ummu
Salamah @ Hindun binti Umaiyah (r.a.)
- Zainab
binti Jahsyi (r.a.)
- Siti
Juwairiyah @ Barrah binti Harits (r.a.)
- Ummu
Habibah @ Ramlah binti Abi Sufyan (r.a.)
- Siti
Shafiyah binti Huyai (r.a.)
- Siti
Maimunah binti al-Harits / al-Hilaliyah (r.a.)